Penyerang legenda Indonesia, Bambang Pamungkas mengakui pasukan lamanya, Selangor FC sentiasa mendapat tempat istimewa di hati beliau.
Pandangan itu dibuat legenda berusia 46 tahun itu dalam satu temu bual bersama pengacara Astro Arena, Keeshaanan Sundaresan baru-baru ini.
Bambang menyifatkan tempoh dua musim bersama Selangor dari 2005 hingga 2007 cukup istimewa kerana ini bukan saja pengalaman baharu baginya berkelana di luar Indonesia.
Malah, beliau juga berpeluang menikmati merangkul pelbagai trofi sepanjang dua musim bersama The Red Giants. “Bagi saya, Selangor sentiasa mendapat tempat di hati saya.
“Sepanjang dua tahun saya di Selangor ini, saya mendapat pengalaman baru. Lepas itu, dapat menang banyak piala. Ia satu tempoh yang cukup diingati bagi saya.
“Selangor sentiasa berada di hati saya. Bagi saya, ia satu penghormatan (mewakili Selangor),” katanya.
Bambang turut mencipta kejutan apabila memperagakan jersi baharu The Red Giants musim ini. Selain memakai jersi lengkap, beliau turut menggunakan nombor 20 yang sinonim dengan dirinya sepanjang bersama Selangor.
Sepanjang dua musim bersama The Red Giants, Bambang bukan saja meraih tiga trofi termasuk Liga Perdana dan Piala Malaysia. Malah, beliau juga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 23 gol pada 2005.
Bambang juga memegang rekod penjaring terbanyak semusim dalam sejarah Selangor iaitu 39 gol pada 2005. Rekod itu kemudiannya dipintas penyerang berbisa The Red Giants, Chrigor Moraes pada musim lalu.