Liga Super: Selangor Tambah Duka Negeri Sembilan
MakanBola
MFL

Selangor menumpaskan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan 1-0 sekali gus memberikan kekalahan kedua berturut-turut kepada The Jangs selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tempoh hari.

Selangor membariskan Kalamullah Al-Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan.

Sementara itu, Negeri Sembilan menurunkan Azri Ghani di posisi penjaga gol dan Luqman Hakim mengemudi jentera serangan The Jangs.

Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa ke arah gawang The Jangs pada awal minit babak pertama.

Faisal Halim melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke-20 namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang pasukan Negeri Sembilan.

Quentin Cheng hampir meletakkan Selangor berada di hadapan pada minit ke-26 namun rembatan kencang beliau berjaya dipatahkan oleh pertahanan baru Negeri Sembilan, Kei Oshiro.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun Selangor tampak menguasai perlawanan separuh masa pertama.

Negeri Sembilan melakukan satu percubaan cantik menerusi A.Selvan namun rembatan tersebut berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz.

Joseph Esso dilayangkan kad kuning pertama aksi pada minit ke-42 selepas melakukan kekasaran keras ke atas Mukhairi Ajmal.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, Selangor dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Nooa Laine meledak gol pertama aksi pada minit ke-61 sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan The Red Giants dan ribuan peminat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Luqman Hakim hampir memberikan gol penyamaan buat Negeri Sembilan pada minit ke-74 tetapi rembatan beliau berjaya dibaca dan dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Mio Tsuneyasu turut hampir meledak gol pada minit ke-85 namun percubaan dalam kawasan kotak penalti Selangor berjaya diselamatkan oleh Kalamullah Al-Hafiz.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor.

Keputusan ini menyaksikan The Red Giants berada di posisi kedua liga dengan 31 mata. Negeri Sembilan pula kekal di tangga keenam dengan 17 mata.

Selepas ini, Selangor akan menentang Kelantan TRW untuk aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia pada 19 Januari. Negeri Sembilan pula akan menentang Imigresen pada 17 Januari.