Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dibuat oleh pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC vs Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung pada 9 Januari 2026.
Dalam satu kenyataan rasmi, FAM memaklumkan bahawa Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil serta menjalankan penilaian menyeluruh terhadap prestasi pegawai perlawanan terbabit, termasuk analisis ke atas insiden-insiden utama sepanjang perlawanan.
Hasil penilaian tersebut mendapati pengadil perlawanan, S Logeswaran serta pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal telah melakukan beberapa keputusan yang kurang tepat, khususnya melibatkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 berkaitan kesalahan dan kelakuan tidak bersopan.
Susulan dapatan itu, FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil berkenaan ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi membantu memperbaiki serta meningkatkan prestasi pengadilan mereka.
Dalam masa sama, Unit Pengadil FAM bersama Jawatankuasa Penilaian Prestasi turut mengeluarkan surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terlibat untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Januari 2026.
Menurut FAM, sesi tersebut bertujuan untuk menilai semula setiap kelemahan yang dikenal pasti selain memberi bimbingan agar tahap profesionalisme dan kualiti pengadilan dapat terus dipertingkatkan.
FAM turut menegaskan bahawa badan induk itu tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan kualiti pengadilan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah demi menjaga integriti pertandingan.