Negeri Sembilan tewas kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 0-1 dalam aksi minggu ke-15 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Jumaat.
The Jangs mempertaruhkan Azri Ghani di posisi penjaga gol, Khuzaimi Piee sebagai kapten pasukan, manakala Luqman Hakim menjadi sandaran utama di jentera serangan.
JDT pula meletakkan Syihan Hazmi sebagai benteng terakhir, Afiq Fazail memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa Brazil, Bergson serta Jairo da Silva, dijadikan ayam tambatan serangan.
JDT dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memburu jaringan pembukaan.
Negeri Sembilan dilihat berjaya mengawal tekanan yang diberikan oleh pasukan Harimau Selatan dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.
Pada minit ke-23, Ager Aketxe hampir mencipta jaringan menerusi rembatan kencang, namun Azri Ghani bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan tersebut.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada Afiq Fazail pada minit ke-29 selepas beliau melakukan kekasaran ke atas A. Selvan dalam situasi tanpa bola.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Corbin Ong hampir meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-37, namun tandukannya dalam kawasan kotak penalti tersasar jauh dari gawang Negeri Sembilan.
Luqman Hakim dilihat melancarkan serangan berbahaya untuk mengucar-kacirkan pertahanan JDT, namun ketangkasan Corbin Ong wajar dipuji kerana berjaya menahan ancaman itu.
Pada akhir babak pertama, Negeri Sembilan melakukan pergantian pemain pertama mereka dengan memasukkan Mio Tsuneyasu menggantikan Joseph Esso.
Aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, walaupun kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang sengit.
Bersambung ke babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol pembukaan.
Pada minit ke-50, Corbin Ong sekali lagi melakukan percubaan berbahaya menerusi tandukan, namun gagal menepati sasaran gawang Negeri Sembilan.
Tiga minit kemudian, Bergson da Silva berjaya menjaringkan gol pertama, tetapi gol tersebut dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Tidak lama selepas itu, pada minit ke-55, Mio Tsuneyasu turut melakukan gerakan lincah bagi memberikan ancaman kepada pasukan Harimau Selatan, namun gerakan tersebut berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.
Sehingga minit ke-75, kedua-dua pasukan masih gagal menjaringkan gol, dan kedudukan kekal seri.
Pada minit ke-86, Teto Martin hampir mencatatkan gol kemenangan untuk JDT, tetapi rembatan padu beliau berhasil ditepis oleh Azri Ghani.
Manuel Hidalgo meledak gol kemenangan pasukan Harimau Selatan selepas menerima umpanan cantik oleh Oscar Arribas pada minit ke-97 aksi sekali gus memberikan 3 mata penuh buat pasukan JDT.
Aksi tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat Johor Darul Ta’zim (JDT).