Bekas jurulatih bawah 19 tahun Bayern Munich, Lim Teong Kim baru-baru ini mula mendapat perhatian warga Instagram setelah kelibatnya yang baru sahaja mewarnai media sosial mendapat sambutan baik oleh rata-rata peminat bola sepak tempatan.
Jurulatih berusia 58 tahun itu dilihat giat berinteraksi bersama para peminat dengan memuat naik beberapa hantaran sebagai ‘salam suai kenal’ di akaun Instagramnya @lim_teong_kim.
Hantaran pertama beliau adalah mengenai sebuah gambar yang memaparkan beliau bersama adik-beradiknya yang lain dengan kata-kata ‘Lim Brothers’ pada hantaran itu.
Selain itu, beliau turut memuat naik satu klip video yang memaparkan temubual bersama pemain terkemuka dunia, Thomas Mueller yang menceritakan perkenalan beliau bersama jurulatih kelahiran Malaysia itu.
Hantaran terakhir yang dimuat naik kira-kira 3 jam lepas menunjukkan sekeping gambar yang memaparkan senarai pemain pasukan muda Bayern Munich.
Ketika itu, Lim Teong Kim berkhidmat bersama skuad muda di sana dan melatih para pemain antaranya ialah bintang Real Madrid, Toni Kroos.
Beliau turut berkongsi beberapa informasi bagaimana bola sepak Malaysia boleh maju di Instagramnya.
Rata-rata ratusan komen yang membanjiri Instagram beliau menunjukkan tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada individu yang dilihat sebagai ‘masa depan’ bola sepak Malaysia.
‘Terbaik Coach, kami semua perlukan anda,’ komen Khairul Azizi di ruangan tersebut.
Sambil itu, para peminat terus berharap agar beliau dapat menerajui pasukan Harimau Malaya suatu hari nanti.
‘Masanya sudah tiba untuk Coach menerajui Harimau Malaya,’-Jelas Nadzim pada hantaran tersebut.