Lionel Messi kini berkongsi status penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman dengan legenda Jerman, Miroslav Klose.
Ini selepas penyerang Argentina berusia 38 tahun itu menyamai rekod 16 gol milik Klose menerusi hatrik ketika menentang Algeria dalam aksi pertama Kumpulan J.
Hatrik Messi bukan saja membantu Argentina meraih kemenangan selesa 3-0. Malah, beliau turut memintas beberapa peledak hebat untuk menyamai rekod Klose.
Messi memintas Cristiano Ronaldo yang menjaringkan 15 gol, Gerd Muller dan Kylian Mbappe (14 gol) dan Just Fontaine (13 gol).
Legenda Barcelona itu turut mencipta rekod sebagai pemain tertua merekodkan hatrik dalam saingan Piala Dunia. Messi turut memintas rekod penglibatan gol Pele dalam Piala Dunia mengikut CGTN Sports Scene.
Legenda Brazil itu merekodkan 12 gol dan sembilan bantuan gol dalam sejarah Piala Dunia. Kini, Messi merekodkan 24 penglibatan gol – satu rekod yang sukar ditandingi pemain lain.
Kedudukan Messi sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia bersama mungkin tidak akan kekal lama. Ini kerana kejohanan masih lagi dalam fasa kumpulan.
Ini membuka ruang buat peledak-peledak lain termasuk Ronaldo dan Mbappe untuk mengintai rekod yang dimiliki Messi dan Klose.