Bek tengah Manchester United, Lisandro Martinez secara berseloroh mengakui berjaya mengatasi lawannya dari Fulham, Adama Traore.
Bek tengah Argentina itu merujuk kepada persaingan mereka di atas padang dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara United dan The Cottagers.
Traore yang beraksi di bahagian sayap sememangnya dikenali peminat EPL bukan saja kerana memiliki larian yang pantas. Malah, pemain sayap berusia 28 tahun itu memiliki tubuh yang tegap dan sasa – satu kelebihan bila berdepan bek tengah berkualiti EPL.
Pada awalnya, Traore berjaya mengakali Martinez apabila membuat larian ke arah kubu pertahanan The Red Devils. Bekas bek tengah Ajax Amsterdam itu kemudiannya berjaya mengatasi cabaran bekas pemain sayap Barcelona itu dalam cubaan mendapatkan bola.
Pada akhirnya, United meraih tiga mata penuh di Old Trafford menerusi jaringan penyerang baru mereka dari Belanda, Joshua Zirkzee. Selain itu, The Red Devils turut merekodkan rekod tanpa bolos pertama dalam liga musim ini.
Apabila ditanya tentang persaingannya dengan Traore oleh legenda Liverpool, Jamie Carragher untuk Sky Sports, Martinez secara berseloroh memaklumkan beliau telah menghantar lawannya kembali ke gim.
“Saya menghantarnya ke gim, bukan? Tidak, dia benar-benar lawan yang sukar untuk dikekang, pemain lawan ini (Adama Traore).
“Saya belajar daripada (pertarungan dengan Traore) yang pertama. Kerana dalam situasi pertama, beliau tewaskan saya dan kemudian saya tewaskan beliau kembali,” katanya.
Selepas ini, Martinez dan United akan bertandang ke Stadium Amex untuk aksi menentang Brighton pada 24 Ogos ini.