Sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023-2024, Liverpool telah mengumumkan jelajah pra-musim ke Singapura sekitar Julai ini. Pasukan ini dijangka akan diikuti oleh pemenang Europa Conference League (ECL) musim lepas, AS Roma, Bayern Munich dan satu lagi kelab EPL, Tottenham Hotspur.
Sebelum ini, ramai menyangka anak-anak buah Jurgen Klopp bakal mengadakan program pra-musim mereka di Amerika Syarikat. Ini disebabkan kelab-kelab ternama Eropah suka menggilirkan program pra-musim mereka di Asia dan Amerika Syarikat setiap tahun.
Mengikut laporan Straits Times, penyertaan Reds di Singapura bakal menyaksikan kejohanan persahabatan membabitkan empat kelab diadakan di situ. Sekiranya ini direalisasikan, satu pertembungan yang amat dinantikan ialah ‘derby’ Jose Mourinho membabitkan Roma dan Spurs.
Spurs yang mengadakan jelajah pra-musim di Korea Selatan pada tahun lepas sudah mengumumkan perlawanan persahabatan menentang West Ham United di Perth, Australia pada 18 Julai. Pengurusan kelab juga dijangka menyelitkan dua lagi perlawanan di Asia sebagai sebahagian daripada program pra-musim mereka.
Sementara Bayern pula melihat ini sebagai platform terbaik untuk jelajah pra-musim Asia selepas mengadakan program sama di Amerika Syarikat pada tahun lepas. Kejohanan persahabatan yang dianjurkan bagaimanapun tiada kena-mengena dengan International Champions Cup yang diadakan di Singapura pada 2019.
Liverpool mengadakan perlawanan persahabatan menentang Crystal Palace di Singapura tahun lepas dalam aksi yang dipanggil Trofi Standard Chartered Singapura. Perlawanan tersebut menyaksikan lebih 50,217 hadir dan angka tersebut dijangka bertambah dengan kejohanan persahabatan membabitkan empat pasukan ternama Eropah diketuai Reds.
Klopp pastinya berharap hasil jelajah pra-musim kali ini tidak akan menggugat tahap kecergasan anak-anak buahnya. Ini kerana program pra-musim Asia yang diadakan pada tahun lepas termasuk perlawanan persahabatan menentang Manchester United di Bangkok, Thailand menyaksikan ramai pemain mengalami kecederaan otot musim ini.
“Adakah saya akan lakukan perkara berbeza? Saya takkan pergi pada minggu pertama (pra-musim) ke Asia. Bukan sebab Asia tak hebat tapi saya akan pergi ke Asia pada minggu ketiga atau sama waktu dengannya tetapi itu bukan dalam kawalan kami,” katanya bila mengulas isu kecederaan yang menimpa pemainnya semasa pra-musim tahun lepas.
Dengan mengambil kira apa yang berlaku musim ini, para eksekutif Liverpool dijangka akan memenuhi permintaan bekas jurulatih Borussia Dortmund itu. Ini bagi memastikan kelab mencipta permulaan lebih baik dalam EPL musim hadapan.