Kedukaan kapten Jepun, Wataru Endo selepas tersingkir di peringkat suku akhir Piala Asia 2023 baru-baru ini dihilangkan kelabnya, Liverpool.
Ini selepas kelab Merseyside itu berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Burnley dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) beberapa hari lepas.
Lebih menarik, ini hadiah terbaik buat bekas pemain tengah VfB Stuttgart itu selepas meraikan hari lahir ke-31 pada 9 Februari lalu.
“Gembira dapat kembali di Anfield dengan tiga mata! Terima kasih untuk semua pesanan hari lahir,” katanya dalam satu ciapan di X.
Endo yang diturunkan sebagai pemain tengah bertahan membentuk gandingan mantap bersama Alexis MacAllister dan Curtis Jones.
The Reds berjaya mengatasi The Clarets hasil jaringan Diogo Jota, Darwin Nunez dan Luis Diaz. Sementara Dara O’Shea menjaringkan gol saguhati buat pelawat.
Selain membantu Liverpool mendapatkan tiga mata, persembahan Endo di bahagian tengah turut mendapat penilaian cemerlang oleh Sofascore.
Sofascore memberi markah 7.2 mata atas persembahannya itu. Endo kemudiannya digantikan oleh pemain muda, James McConnell pada minit ke-97.
Selepas ini, Liverpool akan turun menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada 17 Februari ini.