Bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal dilaporkan berminat kembali melatih Belanda.
Akhbar De Telegraaf melaporkan potensi itu timbul selepas Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) bergelut mencari pengganti jurulatih sebelumnya, Ronald Koeman.
Sebelum ini, empat nama dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan. Mereka ialah Arne Slot, Peter Bosz, Erik ten Hag dan Pep Guardiola.
Keempat-empat figura ini dilaporkan menolak mengisi kerusi panas tersebut atas sebab berbeza. Slot dan Guardiola dilaporkan melihat ini bukan masa sesuai untuk menerima mana-mana tugas selepas meninggalkan Liverpool dan Manchester City.
Ten Hag pula dilaporkan memilih untuk fokus kepada tugas terbarunya sebagai pengarah teknikal FC Twente selepas dipecat Bayer Leverkusen.
Situasi ini membuka ruang buat van Gaal sebagai pilihan utama untuk mengisi jawatan berkenaan. Meskipun kini berusia 74 tahun, beliau kini semakin sihat dan bebas daripada penyakit kanser yang dialami selama beberapa tahun.
Selain itu, van Gaal juga cukup mengenali majoriti pemain Belanda termasuk yang beraksi di Piala Dunia 2026 baru-baru ini.
Jika KNVB berjaya mendapatkan beliau, ini kali keempat van Gaal melatih Belanda. Beliau pernah melakukannya pada 2000-2001, 2012-2014 dan 2021-2022.