Ronald Koeman Sah Tinggalkan Belanda
MakanBola
Ons Oranje

Ronald Koeman menjadi jurulatih terbaru yang meninggalkan pasukan pasca-Piala Dunia susulan kegagalan Belanda mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Keputusan tersebut diumumkan pengurusan skuad Belanda menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka. Ini kali kedua Koeman meninggalkan Belanda selepas melakukannya pada 2020.

“Ronald Koeman telah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) bahawa beliau tidak akan melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda apabila tamat tempoh kontrak.

“Jurulatih berusia 63 tahun itu mengumumkan keputusannya sehari selepas Belanda tersingkir daripada Piala Dunia 2026. Oranje tersingkir dalam Pusingan 16 selepas tewas dalam penentuan penalti kepada Maghribi. Ini menandakan berakhirnya tempoh kedua Koeman sebagai ketua jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan.

Koeman turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak menerusi satu hantaran perpisahan yang dimuat naik di Instagram.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang telah berpeluang bekerjasama dengan saya. Dedikasi, karakter dan kepercayaan anda telah mendorong saya setiap hari.

“Terima kasih juga kepada kakitangan saya, KNVB, semua pekerja di sebalik tabir dan kelab-kelab tempat saya berpeluang bekerjasama. Tetapi yang paling penting, terima kasih kepada para penyokong.

“Atas sokongan anda terutama semasa waktu sukar. Ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk mewakili Belanda sebagai jurulatih kebangsaan,” katanya.

Belanda terlepas peluang mara ke pusingan 16 pasukan terakhir apabila tewas 3-2 kepada Maghribi menerusi sepakan penalti. Taktik negatif Koeman untuk Belanda dalam perlawanan tersebut turut dikritik ramai pihak termasuk beberapa legenda bola sepak.

Koeman mengikut jejak Miroslav Koubek, Hong Myung-bo, Sabri Lamouchi dan Steve Clarke yang memilih mengundur diri atau dipecat susulan prestasi buruk pasukan yang dibimbing dalam Piala Dunia.