Jurulatih Belanda, Ronald Koeman tidak mempedulikan kritikan sesetengah pihak terhadap taktik beliau dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Maghribi.
Bekas jurulatih Barcelona itu membuat kejutan dengan meletakkan lima pemain pertahanan untuk perlawanan menentang pasukan gergasi Afrika Utara itu.
Selepas terikat 1-1, Belanda kemudiannya tersingkir apabila tewas 3-2 kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti. Susulan itu, taktik Koeman dibidas ramai penganalisis termasuk legenda Perancis, Thierry Henry.
Henry berpandangan apabila Belanda meletakkan lima pemain pertahanan untuk aksi berkenaan, ia seolah-olah memberi isyarat bahawa Belanda sebenarnya bimbang dengan ancaman Maghribi.
Apabila diminta mengulas tentang kritikan tersebut, Koeman bukan saja memilih tidak mempedulikan kritikan tersebut. Malah, beliau bersedia mengulangi taktik sama jika berdepan lawan hebat seperti Maghribi.
“Anda boleh fikir apa saja yang anda suka tetapi kami kurang memberikan peluang menentang pasukan yang lebih kuat daripada (lawan di peringkat kumpulan), Sweden dan Tunisia.
“Jika saya perlu melakukannya sekali lagi, saya akan melakukannya dengan cara yang sama. Sebagai jurulatih Belanda, apabila gol penyamaan dijaringkan, saya sentiasa akan dimarahi kerana memilih lima pemain pertahanan.
“Tetapi anda mengkritik, itu hak anda. Anda menonton dari tepi padang, saya di sini bersama pasukan dan sekali lagi, saya akan melakukannya,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.
Koeman juga enggan mengulas sama ada beliau mahu menimbang masa depannya bersama Belanda susulan keputusan berkenaan.
Belanda mengikut jejak Jepun, Afrika Selatan dan satu lagi pasukan gergasi Eropah, Jerman tersingkir di pusingan 32 pasukan terbaik.