Piala Dunia FIFA: Drama Penalti Iringi Kejutan Maghribi Ke Atas Belanda
MakanBola
Équipe de Maroc

Aksi pusingan 32 terbaik bersambung dengan menyaksikan Maghribi mencipta kejutan dengan menang ke atas Belanda dengan sepakan penalti 3-2, selepas seri 1-1 sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik. Aksi tersebut berlangsung di Stadium Monterrey, Mexico.

Berdasarkan format kejohanan, juara Kumpulan F akan bertemu naib juara Kumpulan C dalam pusingan seterusnya. Belanda menamatkan saingan Kumpulan F di tempat pertama dengan kutipan 7 mata, manakala Maghribi muncul sebagai naib juara Kumpulan C dengan jumlah mata yang sama.

Penyerang Belanda, Brian Brobbey telah menjaringkan tiga gol di Piala Dunia edisi ini semuanya dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Ketua pasukan Maghribi, Achraf Hakimi pula menyumbang 1 gol dan 1 bantuan gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Haiti, sekali gus menjadikan ia kemenangan ke-10 dalam 12 perlawanan antarabangsa apabila beliau berjaya menjaringkan gol.

Belanda tidak dapat menurunkan Jurrien Timber, manakala Maghribi pula kehilangan khidmat Nayef Aguerd dan Abde Ezzalzouli.

Separuh masa pertama dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba mencari rentak permainan. Pasukan Belanda dan Maghribi saling berbalas serangan, dengan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang serta melakukan percubaan ke arah gawang lawan.

Belanda hampir membuka jaringan menerusi percubaan Micky van de Ven pada minit ke-43, namun Maghribi turut memberi ancaman sebelum tamat separuh masa pertama apabila Ismael Saibari melepaskan percubaan ke arah pintu gol Belanda. Tamat separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Aksi separuh masa kedua bersambung aksi berintensiti tinggi daripada kedua-dua pasukan.

Sebaik sahaja rehat hidrasi selesai, Cody Gakpo akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-72 apabila mudah menyudahkan hantaran Crysencio Summerville untuk memberi Belanda berkelebihan satu gol di hadapan.

Issa Diop muncul wira pada minit ke-90+1 dengan gol tandukan yang menewaskan Bart Verbruggen bagi menyamakan kedudukan, 1-1. Gol tersebut menghidupkan peluang Maghribi untuk mengheret Belanda bermain pada masa tambahan.

Drama di antara Belanda dan Maghribi bersambung pada masa tambahan dengan kedua-dua pasukan masih bertungkus lumus memberi aksi terbaik di Stadium Monterrey. Masa tambahan 30 minit berkesudahan tanpa tambahan jaringan dari kedua-dua pasukan.

Pemenang aksi ini akhirnya diputuskan menerusi tendangan penalti. Ismael Saibari muncul sebagai wira Maghribi dengan beliau berjaya melaksanakan tugas sebagai pengambil sepakan penalti yang terakhir bagi pasukan Maghribi yang gagal dibaca oleh Bart Verbrugen.

Tamat aksi di antara Belanda menentang Maghribi dengan Maghribi menang dengan sepakan penalti 3-2 ke atas Belanda , selepas seri-1-1. Maghribi berjaya lolos ke pusingan 16 terbaik dan bakal bertemu pasukan Kanada pada 5 Julai.