Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan Malaysia perlu membuat persediaan segera jika mahu beliau beraksi di pentas Sukan Olimpik 2028.
Perkara ini dinyatakan beliau dalam satu hantaran di semua platform media sosial baru-baru ini. Azizulhasni melihat kunci kelayakan ialah berada dalam kelompok 13 pelumba terbaik dunia.
Tidak seperti kelayakan ke Sukan Olimpik sebelum ini di mana pelumba perlu layak beraksi dalam salah satu acara, kiraan mata ranking kali ini berbeza. Ini kerana Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kini mengira mata untuk kedua-dua acara.
“Untuk acara individu pula, hanya 30 pelumba terbaik dunia akan diambil untuk keirin dan pecut. Berbeza dengan edisi Olimpik yang lepas dimana pelumba boleh menumpukan perhatian untuk melayakkan diri hanya melalui salah satu acara sahaja sama ada acara keirin atau pecut.
“Namun kali ini kiraan mata dikira melalui gabungan kedua-dua acara Keirin dan Sprint. Jadi pelumba perlu konsisten dalam kedua-dua acara jika ingin meningkatkan pungutan mata dan kebarangkalian untuk layak.
“Setakat pada hari ini, data dan rekod menunjukkan hanya saya pelumba dari Malaysia yang pernah menjejakkan kaki ke podium di Kejohanan Dunia bagi acara pecut. Berdasarkan prestasi di Piala Dunia musim ini juga, saya konsisten dengan dua pingat gangsa di dalam acara pecut di Piala Dunia Perth dan Nilai,” katanya.
Azizulhasni turut melihat 16 pelumba layak secara automatik untuk acara pecut berpasukan, 13 slot menjadi rebutan. Hal ini ditambah dengan satu slot diperuntukkan UCI kepada pelumba berbasikal trek dari benua Afrika.
“Daripada 30 orang pelumba tersebut kita perlu tolak 16 orang daripada slot automatik pecut berpasukan tadi. Jadi sekarang hanya tinggal 14 slot sahaja. Daripada 14 ini pula kita perlu tolak satu slot menjadikan baki 13 slot sahaja yang boleh direbut.
“Satu slot tadi itu adalah diberikan kepada pelumba terbaik dari benua Afrika tanpa perlu berebut dengan semua pelumba lain. Ini adalah inisiatif UCI untuk membantu pelumba dari benua tersebut untuk layak ke Sukan Olimpik.
“Jadi hanya tinggal 13 slot yang boleh direbut untuk mereka yang ingin layak melalui acara individu ini. Sifir mudah untuk mendapatkan slot ini adalah pelumba perlu berada di kedudukan ranking-13 terbaik dunia untuk memastikan layak ke LA28,” katanya.
Azizulhasni percaya jika beliau terus konsisten dan menunjukkan prestasi baik untuk dua musim seterusnya, kelompok lapan pelumba terbaik di dunia berpotensi dalam radarnya.
Sebelum ini, bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu turut mempersoalkan sama ada khidmatnya masih diperlukan Malaysia atau tidak untuk layak ke temasya berkenaan.