Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin kembali mendapat perhatian apabila namanya berada dalam senarai bersedia bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Tonggak berusia 22 tahun itu kini berkelana di Jepun bersama Yokohama SCC telah membuka mata ketua jurulatih, Kim Pan-gon terhadap kemampuan sebenarnya.
Luqman sebelum ini telah membantu skuad Malaysia B-23 dalam kempen Piala Asia di Qatar namun berakhir pada peringkat kumpulan sahaja.
Persembahan anak jati Kelantan ini mendapat perhatian selepas beliau muncul antara pemain paling menyerlah di bawah kendalian Juan Torres Garrido.
Aksi lincahnya telah menambat hati pengendali kelahiran Korea Selatan itu apabila namanya kembali berada dalam senarai bersedia yang dikeluarkan oleh FAM bagi panggilan kali ini.
4 orang rakan sepasukannya di Malaysia B-23 telah diserap ke dalam skuad senior iaitu Haqimi Azim (KL City), Nooa Laine (Selangor), Safwan Mazlan (Terengganu) dan juga Sikh Izhan (Penang).
Luqman beraksi dalam kesebelasan utama bagi tiga aksi menentang Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait sebagai pemain sayap kiri sekaligus membuktikan kualitinya sejak berkelana di Eropah.
Antara pemain muda lain yang turut berada dalam senarai bersedia termasuklah Ubaidullah Shamsul dan juga Mukhairi Ajmal Mahadi.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.