Penyerang negara yang kini berkelana ke Jepun, Luqman Hakim Shamsudin dikesan menjerit kekecewaan dalam perlawanan terkini beliau bersama YSCC Yokohama di Liga J3.
Pemain berusia 22 tahun itu dimasukkan pada minit ke-70 ketika YSCC ketinggalan 1-4 kepada pasukan tuan rumah, FC Gifu.
Luqman mempunyai peluang keemasan untuk meledak gol sulungnya di Jepun pada minit ke-78 perlawanan selepas berjaya memperdaya penjaga gol lawan.
Namun agak malang buat Luqman apabila percubaannya di hadapan pintu gol yang terbuka luas itu tersasar dan hanya singgah di tepi jaring gol.
Susulan daripada kegagalan tersebut, Luqman dilihat terbaring dan menjerit kekecewaan selepas gagal menyudahkan peluang keemasan tersebut.
Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan keputusan 5-1 memihak tuan rumah sekali gus memaksa YSCC menelan kekalahan besar di gelanggang lawan.
Luqman sebelum ini dikhabarkan akan meninggalkan Jepun selepas gagal merebut tempat di dalam kesebelasan utama YSCC Yokohama.
YSCC Yokohama kini menduduki tangga ke-16 di dalam saingan Liga J3 dengan mengumpul 26 mata selepas 25 perlawanan yang diharungi.
Bagi aksi seterusnya, YSCC dijadualkan bertemu pendahulu Liga J3, Omiya Ardiya pada 31 Ogos ini di gelanggang lawan.