Luqman Hakim Patah Bahu, Tamatkan Musim Lebih Awal
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin terpaksa menamatkan musim lebih awal bersama Negeri Sembilan FC.

Ini selepas pengurusan Sang Rusa memaklumkan beliau mengalami kecederaan patah bahu. Kecederaan itu dialami ketika beraksi menentang Terengganu FC pada 25 April lalu.

Kecederaan yang dialami Luqman memaksa jurulatih interim, K. Rajan memasukkan N. Javabilaarivin sebagai pengganti pada separuh masa pertama.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Luqman Hakim disahkan mengalami kecederaan patah bahu susulan insiden dalam perlawanan semalam.

“Selepas pemeriksaan lanjut di hospital, beliau perlu menjalani pembedahan dan terpaksa melupakan baki saingan liga musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Berita ini dilihat memberi tamparan hebat kepada Rajan. Ini kerana sebelum ini, beliau juga perlu melupakan khidmat Jovan Motika untuk baki musim ini juga akibat kecederaan.

Selepas menyertai Sang Rusa pada awal musim 2025/26, Luqman telah merekodkan enam gol dan satu bantuan gol dalam 24 penampilan.

Selepas ini, Negeri Sembilan akan menentang Melaka FC pada 3 Mei ini.