Beberapa pilihan destinasi sudah berada di depan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sekiranya pulang ke Liga Malaysia.
Pemain berusia 23 tahun itu kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk memasuki tahun kelimanya di sana.
Desas-desus mengenai kepulangannya ke Malaysia hangat diperkatakan selepas kontraknya di Belgium difahamkan tamat pada bulan Mei ini.
Terdapat beberapa kelab yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Malaysia B-23 ini untuk memantapkan pasukan.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Negeri Sembilan antara salah satu pilihan destinasi bagi membolehkannya meraih minit permainan lebih banyak musim hadapan.
“Khabar Luqman Hakim kembali ke Malaysia menarik minat beberapa pasukan, namun Negeri Sembilan dilihat destinasi terbaiknya untuk lebih banyak beraksi,” ujarnya menerusi satu ciapan di laman X.
Bukan itu sahaja, bekas tonggak Selangor ini turut dikaitkan dengan kepulangan bersama Gergasi Merah Kuning yang bakal beraksi di Asia musim hadapan.
Terdapat juga beberapa pilihan lain di Liga Super Malaysia musim 2025/26 tatkala Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad memberi bayangan bahawa Luqman Hakim sudah ada pilihan destinasinya.
“Sudah selesai,” jelasnya sebelum ini di laman X.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi berhubung masa depan bekas tonggak Yokohama SCC perpindahan ke mana-mana kelab Liga Malaysia.