Pengurus skuad Thailand, Nualphan Lamsam (Madame Pang) berminat untuk cuba membawa dua tonggak utama Harimau Malaya, Stuart Wilkin dan Darren Lok beraksi di Liga Thailand.
Menurutnya, kedua-dua pemain ini cukup bagus untuk mengikuti langkah Dion Cools dan Safawi Rasid yang turut menyertai kelab Thailand musim ini seperti yang dilaporkan Flash Sukan.
“Kami ada memantau beberapa pemain Malaysia yang beraksi dalam kejohanan Piala AFF kali ini, saya hargai ketua pasukan Harimau Malaya (Safawi Rasid) yang bermain di Liga Thai bersama kelab Ratchaburi FC.
“Begitu juga Dion Cool (Buriram United), ada ramai pemain bagus, saya lihat perlawanan terakhir (menentang Singapura) pemain nombor 8 (Stuart Wilkin) yang menjaringkan dua gol menentang Singapura.
“Begitu juga nombor sembilan (Darren Lok) kerjasama yang bagus,” kongsinya semasa sesi sidang media pada pagi tadi (Sabtu).
Beliau turut mengharapkan Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi lebih 80,000 penyokong namun sedar dan memahami permasalahan yang sedang berlaku ketika ini.
Perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 di antara pasukan Malaysia dan Thailand bakal diadakan di Bukit Jalil dengan jumlah kehadiran penyokong diterhadkan hanya kepada 59,000 berbanding 80,000.
Madame Pang yang juga merupakan Pengerusi Port FC merupakan bilionair Thailand dari keluarga Lamsam yang memiliki jumlah kekayaan direkodkan sebanyak US$100 bilion (RM440 bilion) dan telah banyak membantu skuad Thailand dari segi kewangan, kepakaran pengurusan, jaringan antarabangsa dan komersial.