Calon tonggak warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal melalui detik sukar sebelum menjulang trofi bersama kelab Sabah FK di Azerbaijan.
Pada Sabtu, khidmat Irazabal terus menjadi sandaran utama Sabah FK apabila berada dalam senarai oleh jurulatih, Vasiliy Berezutsky bagi memimpin pertahanan pada final Azerbaijan Cup.
Tugas berat pastinya berada di bahu Irazabal dan pasukan apabila berdepan salah satu pasukan gergasi di Azerbaijan, Qarabag yang menjadi wakil ke pentas Eropah saban musim.
Babak pertama tamat dengan keputusan 1-1 dengan Sabah mendahului menerusi sepakan penalti Safranko di minit ke-36 sebelum Qarabag mengikat kedudukan hasil percubaan Qady Borges.
Malang buat Jon Irazabal ketika aksi memasuki minit ke-67 apabila beliau tertampan bola ke gawang sendiri berpunca daripada lorongan pemain Qarabag untuk lawan memimpin 2-1.
Walau bagaimanapun dua jaringan di masa tambahan oleh Kaheem Parris dan Tellur Mutallimov memastikan Sabah FK berjaya bangkit dan muncul pemenang dengan keputusan 3-2.
Ini adalah trofi pertama yang berjaya diraih oleh Jon Irazabal bersama Sabah FK sejak menyertai kelab dari Azerbaijan itu pada tahun 2022 yang lalu.