Harimau Malaya dijangka mendapat tonik tambahan menjelang pertemuan menentang Vietnam, Mac ini.
Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata – 3 mata terpisah dengan Vietnam (12 mata) di tangga kedua.
Pasukan kebangsaan juga melonjak ke tangga 121 dunia berdasarkan kemas kini ranking FIFA sekali gus menjadi pasukan ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Thailand (96) dan Vietnam (108).
Malaysia masih berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan menentang Vietnam di gelanggang lawan dalam misi untuk melangkah ke pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.
Laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memberi bayangan bahawa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva telah cukup tempoh untuk didaftarkan selaku pemain Harimau Malaya.
“Bergson da Silva, tampak sudah melengkapkan syarat mendapat status naturalisasi iaitu lima tahun di Malaysia selepas menyertai JDT sejak 3 Februari 2021,” jelas beliau di laman X.
Hal ini memungkinkan bahawa Bergson berpotensi untuk dipanggil bersama Harimau Malaya seawal Mac ini.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Malaysia itu masih mempamerkan ketajamannya di depan gawang selepas mendahului carta Penjaring Terbanyak Liga Super 2025-26 dengan 16 gol setakat ini.
Beliau juga tidak kurang hebatnya pada pentas bola sepak Asia Tenggara selepas menjaringkan lima gol dalam hanya tiga penampilan untuk membawa pasukan ke pentas separuh akhir ACC Shopee Cup 2025-26.
Aksi Malaysia menentang Vietnam dijadual berlangsung pada 31 Mac 2026 jam 9.00 malam di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh, Vietnam.