Skuad B23 negara dibawah kendalian Juan Torres kali ini mencatat keputusan seri dalam siri aksi persahabatan tertutup.
Perlawanan persahabatan antara skuad muda Malaysia dan India ini merupakan medan persiapan dan persediaan pasukan sebelum kempen Piala Asia B23 di Qatar bermula.
Malaysia di babak separuh masa pertama mendahului aksi selepas kesilapan pertahanan India, Abhishek Dhananjay memberi jaringan pembukaan perlawanan. Abhishek secara tidak sengaja telah menjaringkan gol ke gawang sendiri sekaligus meletakkan Malaysia mendahului 1-0 dihadapan.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, India cuba bangkit untuk mencatat jaringan pertama pasukan. Usaha India itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain Odisha FC, Thoiba Singh mencatat jaringan pada minit ke-61 permainan.
Jaringan tersebut sekaligus menutup aksi persahabatan tertutup yang berlangsung di Stadium Cheras malam semalam. Perlawanan tamat, Malaysia 1-1 India.
Skuad B23 negara kini telah mengharungi dua kali aksi persahabatan berdepan India. Pada Jumaat lalu, Malaysia menang tipis atasi India dengan keputusan 2-1 dan kali ini India berjaya bangkit mengikat Malaysia dengan keputusan 1-1.
Bagi kempen Piala Asia B23 2023 yang bakal bermula tidak lama lagi, Malaysia telah diundi dalam saingan Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.
Skuad kendalian Juan Torres akan turun untuk aksi pertama berdepan Uzbekistan pada 17 April 2024. Aksi kedua pula bertemu jaguh Asean iaitu Vietnam pada 20 April dan akan menentang Kuwait untuk aksi terkahir peringkat kumpulan pada Selasa, 23 April 2024.