Malaysia layak ke saingan Piala Dunia Hoki 2026 meskipun perlu mengharungi aksi penentuan tempat ketiga dengan Jepun pada Sabtu.
Ini disebabkan satu lagi aksi penentuan tempat ketiga kelayakan yang diadakan di Santiago, Chile menemukan Wales dan Poland.
Semakan ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-14. Wales dan Poland pula masing-masing berada di tangga ke-15 dan 20.
Malaysia memiliki dua senario layak ke Piala Dunia Hoki 2026. Pertama, pasukan itu layak sebahagian daripada tiga pasukan terbaik kelayakan yang diadakan di Ismailia, Mesir.
Kedua, jika Malaysia tewas kepada Jepun, pasukan itu berpotensi layak sebagai pasukan keempat terbaik. Syaratnya, pasukan tersebut perlu memiliki ranking dunia yang lebih baik.
Meskipun tewas di tangan England di peringkat separuh akhir, ranking yang dihuni Malaysia ketika ini sudah cukup untuk menjamin kemaraan anak buah Sarjit Singh ke Piala Dunia Hoki 2026.
Kini, Malaysia mengalihkan fokus untuk aksi penentuan tempat ketiga menentang Jepun. Ini kerana kemenangan akan menjamin kemaraan Malaysia ke saingan Nations Cup 2026.