Meskipun gagal mara ke peringkat suku akhir Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025, kem negara tetap layak ke Sudirman Cup 2025.
Sebelum ini, saingan BAMTC 2025 menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan. Ini selepas kem negara tewas kepada Hong Kong dan juara, Indonesia.
Meskipun begitu, Malaysia tetap layak ke Sudirman Cup 2025 disebabkan kedudukan ranking Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang baik.
Semakan terbaru mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima dengan markah 11,100 mata. China yang juga juara bertahan Sudirman Cup 2023 kekal bertakhta sebagai pasukan nombor satu dengan markah 17,500 mata.
Kedudukan ini bukan saja membantu Malaysia layak ke kejohanan itu. Malah, kelebihan sama turut dianugerahkan kepada Korea Selatan, Chinese Taipei, India dan Hong Kong.
Korea Selatan mendapat slot tambahan selepas China terlebih dahulu layak selaku tuan rumah Sudirman Cup 2025. Ini kerana kejohanan itu akan diadakan di Xiamen, China.
BAMTC 2025 menyaksikan Indonesia layak sambil diiringi dua lagi pasukan, Jepun dan Thailand. Denmark mengetuai cabaran empat negara Eropah untuk Sudirman Cup 2025.
Selain Denmark selaku juara European Mixed Team Badminton Championship (EMTBC), England, Perancis dan Jerman turut layak.
Kini, yang tinggal wakil dari benua Amerika menerusi Pan American Cup 2025. Amerika Syarikat dan Kanada bakal berentap untuk merebut gelaran juara dan slot ke Sudirman Cup 2025.