Malaysia Masters: Satu Gelaran Juara Pasti Milik Kem Negara
UltraSukan
MSN Malaysia

Kem badminton negara sudah pasti membawa pulang satu gelaran juara daripada kejohanan Malaysia Masters 2025.

Saingan Malaysia Masters 2025 sudah sampai ke kemuncak setelah 5 hari diadakan yang menyaksikan jaguh dunia turun ke gelanggang dan berjuang untuk mara ke final pada Ahad.

Dua wakil hebat Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun kini memastikan kem beregu lelaki negara terus beraksi pada hari terakhir apabila cemerlang ke final.

Aaron-Wooi Yik turun ke gelanggang selaku pilihan ke-4 dan berdepan tugas getir menentang beregu nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Rasmussen di separuh akhir pada Sabtu.

Walau bagaimanapun, aksi cemerlang Aaron-Wooi Yik selain sokongan padu peminat menyaksikan pemenang dua pingat Olimpik ini berjaya menyingkirkan beregu Denmark ini 21-19, 17-21, 21-15.

Manakala Wei Chong-Kai Wun yang bermain lebih awal pula tampil mengagumkan dengan persembahan memukau bagi menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Naib juara Malaysia Masters 2023 ini hanya memerlukan 31 minit bagi menceriakan peminat yang hadir ke Axiata Arena dan menempah pertemuan di final menentang Aaron-Wooi Yik nanti.

Dengan kemaraan Aaron-Wooi Yik serta Wei Chong-Kai Wun di final ini, gelaran juara beregu lelaki Malaysia Masters 2025 pasti menjadi milik kem badminton negara buat pertama kali.

Kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Malaysia Masters adalah ketika edisi 2013 yang dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah dan penantian 12 tahun tersebut bakal tamat.

Aksi final Aaron-Wooi Yik vs Wei Chong-Kai Wun ini pastinya menjadi tumpuan oleh kerana rekod pertemuan yang dililhat cukup seimbang dengan kedua-dua beregu menang dua kali sebelum ini.