Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua Malaysia Open 2025.
Aaron-Wooi Yik mara apabila mengatasi cabaran beregu nombor satu Amerika Syarikat, Chen Zi Yi dan Presley Smith.
Juara Korea Masters 2024 itu berharap dapat membuka tahun 2025 dengan langkah kanan. Meskipun ini kali pertama kedua-dua regu bertemu, kelebihan ranking memihak kepada Aaron-Wooi Yik selaku beregu keenam dunia.
Set pertama menyaksikan Zi Yi-Smith cuba memberi tentangan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu. Beberapa kesilapan yang dilakukan beregu Amerika Syarikat itu membolehkan Aaron-Wooi Yik mendahului pada kedudukan 11-5.
Meskipun terus diberi tentangan oleh Zi Yi-Smith, bekas juara Denmark Open 2023 itu kekal tenang sebelum meraih kemenangan 21-13.
Set kedua menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan Aaron-Wooi Yik membuka ruang buat beregu ke-37 dunia itu mendahului pada kedudukan 13-9.
Kedudukan itu terus dipertahankan sebelum Zi Yi-Smith meraih kemenangan 21-16. Keadaan ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan.
Set ketiga menyaksikan Aaron-Wooi Yik tampil lebih agresif di atas gelanggang. Perubahan corak permainan membantu mereka mendahului pada kedudukan 11-6.
Dominasi beregu keenam dunia itu terus dikekalkan sebelum mereka meraih kemenangan set ketiga dengan keputusan 21-10.
Kemenangan ini menyaksikan mereka menjadi beregu lelaki ketiga Malaysia yang mara ke pusingan kedua. Selain Aaron-Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan kemaraan.
Aaron-Wooi Yik bakal menanti pemenang aksi membabitkan dua beregu Chinese Taipei, Liu Kuang-Heng-Yang Po-Han dan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen di pusingan kedua.