Advertisement
Malaysia Open: Langkah Aaron-Wooi Yik Dihalang Beregu Chinese Taipei
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke pusingan suku akhir Malaysia Open musnah apabila tewas kepada lawan dari Chinese Taipei.

Setelah cemerlang menewaskan lawan dari Amerika Syarikat pada Rabu, Aaron-Wooi Yik turun berdepan beregu Chinese Taipei, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen di pusingan kedua pada Khamis

Di atas kertas, kelebihan jelas memihak buat Aaron-Wooi Yik apabila memenangi kesemua aksi berdepan Fang Chih-Fang Jen sebelum ini dengan kali terakhir bertemu di France Open 2024.

Perlawanan bermula sedikit perlahan apabila Fang Chih-Fang Jen lebih kerap bermain secara rally panjang dengan pukulan ke belakang gelanggang memaksa Aaron-Wooi Yik membuat kesilapan kecil.

Beregu Chinese Taipei di ranking ke-26 dunia ini turut pamer aksi bertahan yang kental dan sering kali mematahkan usaha Aaron-Wooi Yik untuk muncul sebagai pemenang di set yang pertama.

Bersambung set kedua, serba tidak menjadi permainan yang ditampilkan oleh Aaron-Wooi Yik apabila memberikan mata-mata mudah buat Fang Chih-Fang Jen hasil kesilapan sendiri.

Pasangan negara ini kembali bangkit mengejar dan mengikat kedudukan dengan corak lebih agresif namun itu tidak cukup buat Aaron-Wooi Yik apabila tewas juga di penghujung aksi.

Pertarungan di gelanggang satu berakhir dengan keputusam 21-14, 21-18 buat Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Dengan kemenangan ini, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen mara ke suku akhir Malaysia Open 2025 dan dijadualkan bertemu Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang mengatasi cabaran jaguh China.