Aksi pusingan pertama Malaysia Open 2025 menyaksikan wakil perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pamer aksi hebat sebelum tumbang kepada Lu Guang Zu dari China.
Jun Hao tampil sebagai wakil tunggal perseorangan lelaki Malaysia selepas seorang lagi pemain, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri akibat kecederaan yang dialami pada kejohanan lalu.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama Jun Hao di pentas Malaysia Open dan bakal berdepan jaguh dari China, Lu Guang Zu buat kali pertama dalam rekod pertemuan lalu.
Di awal aksi, Guang Zu tidak memberi sebarang peluang buat Jun Hao dengan siri asakan bertali arus untuk memerangkap wakil negara ini dan mendahului 6 mata pada suatu ketika.
Walaupun diasak, Jun Hao dengan tenang berjaya mengikat kedudukan 15-15 sebelum Guang Zu kembali fokus meraih mata demi mata dan mencatat kemenangan di set pertama.
Bersambung di set kedua, permulaan lebih baik buat Jun Hao apabila berjaya memimpin kutipan mata meski Guang Zu berusaha menyerang setiap sisi gelanggang pemain negara.
Persembahan cemerlang Jun Hao berjaya memukau Axiata Arena sehingga membuatkan pemain China tersebut mula tertekan lalu tewas dan mengheret aksi ke set penentuan.
Di set ketiga, Guang Zu memanfaatkan peluang ke atas Jun Hao yang tampak sudah keletihan untuk wakil China tersebut memenangi permainan.
Pertarungan di gelanggang 1 berakhir dengan keputusan 21-17, 16-21, 21-13 memihak Lu Guang Zu.
Dengan kemenangan ini, Lu Guang Zu akan meneruskan langkah ke pusingan kedua dan bakal bertemu Shi Yu Qi.