Beregu campuran nombor satu Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kempunan ke final Malaysia Open 2025.
Tang Jie-Ee Wei tewas kepada pilihan utama kejohanan dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping di peringkat separuh akhir.
Selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai tersingkir dalam satu lagi aksi separuh akhir, harapan kem Malaysia kini disandarkan kepada beregu kelima dunia itu untuk mara ke final.
Ini kali keenam kedua-dua beregu bertemu di atas gelanggang. Kelebihan memihak kepada Yan Zhe-Dong Ping kerana menang empat daripada enam aksi sebelumnya.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Tang Jie-Ee Wei mendahului juara China Masters 2024 itu pada kedudukan 8-3. Yan Zhe-Dong Ping berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 9-9.
Beregu China itu kemudiannya mendahului Tang Jie-Ee Wei pada kedudukan 16-12. Meskipun terus diberi cabaran oleh beregu negara, Yan Zhe-Dong Ping meraih kemenangan 21-19.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-dua beregu terikat pada kedudukan 9-9.
Yan Zhe-Dong Ping kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-9. Dominasi juara Arctic Open 2024 itu terus dikekalkan sebelum meraih kemenangan
Meskipun tersingkir daripada saingan Malaysia Open 2025, Tang Jie-Ee Wei masih mendapat berita gembira. Ini kerana bermula pada minggu hadapan, mereka bakal menduduki ranking ketiga dunia.
Yan Zhe-Dong Ping bakal menentang wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di peringkat akhir.