Malaysia Sudah Tunjuk Cara Bolosi Cape Verde
MakanBola
MNT/Sefutbol

Malaysia memiliki formula untuk membolosi gawang Cape Verde yang seharusnya dipelajari oleh Sepanyol sebelum perlawanan pertama Piala Dunia 2026.

Sepanyol membuka pentas Piala Dunia 2026 dengan penuh kejutan apabila terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan kumpulan H pada awal pagi Selasa bertemu Cape Verde yang membuat kemunculan sulung di kejohanan ini.

Pertemuan yang dijangka menjadi aksi yang mudah buat pasukan Sepanyol ini bagaimanapun menjadi mimpi ngeri apabila Cape Verde tampil dengan cukup berdisiplin dalam menyerap dan menyekat setiap serangan jaguh dari Eropah itu.

Penjaga gol Cape Verde berusia 40 tahun, Vozinho berada di kelas tersendiri menerusi persembahan memukau dengan 7 aksi penyelamatan yang berjaya membuatkan terus Sepanyol ‘pening kepala’ sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Kebuntuan dan kegigihan Sepanyol mencari gol itu membuatkan peminat bola sepak tempatan mengimbau kembali detik pasukan Harimau Malaya turun bertemu Cape Verde dalam aksi persahabatan pada bulan Mei tahun lalu.

Malaysia yang ketika itu dalam persiapan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia melayani kehadiran Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan berjaya merekodkan keputusan seri 1-1 apabila bangkit dari ketinggalan satu gol.

Cape Verde berada di hadapan seawal minit ke-8 hasil percubaan deras oleh bek kanan Cape Verde, Sydny Cabral yang terus menerjah ke gawang skuad negara dan menewaskan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi pada ketika itu.

Semangat pantang menyerah skuad kebangsaan membuahkan hasil apabila penyerang gantian, Paulo Josue berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-80 setelah memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kota penalti Cape Verde.

Kejayaan menjaringkan gol tersebut disambut meriah oleh ‘ekor’ Harimau Malaya bersama pemain-pemain, sekali gus memberikan keputusan seri yang cukup bermakna buat Malaysia apabila bertemu negara di ranking ke-76 dunia.

5 bulan kemudian, Cape Verde berjaya melakar sejarah layak ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama dan kini keputusan seri menentang bekas juara 2010, Sepanyol bakal menjadi catatan baharu buat bola sepak di negara kepulauan tersebut.

Dua lagi aksi di peringkat kumpulan H bakal menanti Cape Verde dengan perlawanan menentang Uruguay pada 22 Jun dan Arab Saudi pada 27 Jun hadapan akan menjadi detik penting bagi menentukan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.