Malaysia mengesahkan senarai 26 pemain yang bakal menggalas cabaran negara ke Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung bermula 13 Januari 2024.
Skuad kendalian Kim Pan-gon tiba seawal 1 Januari 2024 di Qatar sebagai persiapan awal untuk bertemu dengan pasukan ke-91 dunia, Syria bagi aksi persahabatan.
Teka-teki mengenai perjalanan skuad negara akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengesahkan senarai akhir pemain yang bakal menggalas tugas negara.
Tiga penjaga gol yang dibawa ialah Syihan Hazmi, Sikh Izhan dan juga Azri Ghani manakala barisan pertahanan pula diketuai oleh Dion Cools bersama beberapa tonggak utama seperti Matthew Davies, Corbin-Ong, Syahmi Safari, Shahrul Saad, Daniel Ting, Junior Eldstal dan Khuzaimi Piee.
Pada posisi tengah, Kim Pan-gon memberi kepercayaan untuk beberapa pemain berpengalaman seperti Natxo Insa, Brendan Gan dengan nama-nama seperti Stuart Wilkin, Syamer Kutty, Endrick Dos Santos diberi peranan besar untuk mengemudi nadi tengah negara.
8 orang pemain telah dipilih untuk mengemudi jentera serangan negara iaitu Darren Lok, Arif Aiman, Faisal Halim, Safawi Rasid, Akhyar Rashid Paulo Josue dan bintang naturalisasi baharu, Romel Morales.
26 pemain ini bakal menggalas tugas negara untuk mengharugi tiga aksi peringkat kumpulan dengan Jordan bakal menjadi lawan pertama Harimau Malaya pada 16 Januari 2024.
Kim Pan-gon juga sebelum ini telah memberi bayangan bahawa tidak akan berlaku banyak perubahan daripada senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan kebangsaan sejak akhir Disember lalu.