Saingan Liga Europa UEFA (UEL) bakal menyaksikan Man United kembali bersemuka dengan bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho.
Ini selepas undian peringkat liga UEL dijalankan pada 31 Ogos lalu. United dan Tottenham Hotspur merupakan wakil England dalam saingan UEL musim 2024/25.
Pertembungan United-Fener dijangka panas lebih-lebih lagi dengan Mourinho sebagai jurulatih. Bekas pengurus Chelsea itu berada di Old Trafford dari 2016 hingga 2018.
Selain Mourinho, satu lagi nama yang cukup dikenali penyokong The Red Devils berada di Fener iaitu Fred. Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyertai kelab gergasi Turkiye itu pada musim 2023/24 selepas berada di Old Trafford selama lima tahun.
Satu lagi pertarungan yang dijangka menarik penyokong ialah aksi Battle of Britain membabitkan United dan kelab gergasi Scotland, Glasgow Rangers.
Menariknya, Rangers juga merupakan lawan The Red Devils dalam aksi pra-musim 2024/25. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2010/11.
United yang ketika itu dibimbing pengurus legenda Scotland, Sir Alex Ferguson meraih kemenangan 1-0 ke atas The Light Blues di Ibrox pada 25 Oktober 2010.
Selain Rangers dan Fenerbahce, United bakal PAOK, Bodo/Glimt, FC Twente, Porto, FCSB dan Viktoria Plzen dalam saingan UEL.
United berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara UEL yang dilakukan pada edisi 2016/17. Ironinya, itu juga salah satu trofi yang dimenangi Mourinho bersama The Red Devils.
Lima tonggak baru iaitu Joshua Zirkzee, Leny Yoro, Noussair Mazraoui, Mathijs de Ligt dan Manuel Ugarte dijangka menjadi sandaran pengurus mereka, Erik ten Hag.