Man United kembali berbelanja dalam tetingkap perpindahan musim panas 2024 apabila mendapatkan graduan akademi Arsenal, Chido Obi-Martin.
Sebelum ini, The Red Devils telah berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat bekas bek tengah Lille, Leny Yoro dan penyerang Belanda, Joshua Zirkzee. Meskipun begitu, kelab itu tidak pernah lupa memburu prospek muda yang berpotensi membuat kemunculan dalam kesebelasan utama.
Nama Obi-Martin menjadi sebutan kerana pada usia 16 tahun, penyerang Denmark ini telah meledakkan 10 gol ke atas skuad Liverpool Bawah 16 Tahun (B-16) pada Oktober 2023.
Selain itu, Obi-Martin turut meledakkan 32 gol buat skuad muda Arsenal dalam saingan Premier League 2 (aksi liga simpanan membabitkan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL)).
Prospek cerah yang dimilikinya mendorong The Gunners berusaha untuk mengekalkan Obi-Martin di Stadium Emirates tetapi gagal. Ini menyebabkan namanya diintai beberapa kelab besar Eropah termasuk United.
Kini, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan Obi-Martin sudah melengkapkan bahagian pertama ujian perubatan bersama United. Sekiranya semua proses berjalan lancar, dia akan menjadi pemain ketiga United untuk musim 2024/25.
Obi-Martin dilaporkan berminat ke Old Trafford selepas melihat kisah kejayaan dua bintang muda United, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho. Malah, penolong pengurus The Red Devils, Ruud van Nistelrooy dilaporkan turut membantu usaha mendapatkan penyerang Denmark itu.
Obi-Martin dijangka memeterai kontrak profesional pertamanya bersama United apabila usianya mencecah 17 tahun. Selain Denmark, beliau juga berpotensi mewakili Nigeria atau England.
United kini sibuk memburu beberapa pemain sebelum tetingkap perpindahan ditutup pada penghujung bulan ini. Pengurusan The Red Devils turut terbuka untuk menjual beberapa pemain seperti Scott McTominay dan Casemiro untuk membiayai dana perpindahan mereka.