Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United membuka kempen pra-musim 2024/25 dengan langkah kiri apabila tewas tipis 1-0 kepada kelab Norway, Rosenborg.
Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama buat jurulatih Belanda, Erik ten Hag selepas memeterai kontrak baru dengan United sehingga tahun 2026.
Majoriti pemain yang diturunkan untuk aksi ini ialah pemain muda. Ini memandangkan ramai pemain United terlibat dengan kejohanan antarabangsa seperti EURO 2024 dan Copa America 2024.
Antara pemain muda yang diberi peluang dalam perlawanan ini ialah Radek Vittek, Ethan Wheatley dan Ethan Ennis. Sementara pemain senior seperti Marcus Rashford, Mason Mount dan Casemiro turut berada dalam kesebelasan utama.
Separuh masa pertama menyaksikan Rosenborg berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Ole Saeter menyangka meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-13.
Keceriaan kem tuan rumah tidak bertahan lama apabila gol Saeter dibatalkan kerana beliau dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Vittek yang mengawal gawang cemerlang menafikan percubaan pemain Rosenborg, Marius Broholm. Penjaga gol tuan rumah, Sander Tangvik kemudiannya tangkas menafikan penyerang warisan Malaysia, Wheatley pada minit ke-39.
Vittek memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat dengan menafikan percubaan Sverre Nypan dan Broholm.
Bersambung pada babak kedua, ten Hag membuat 10 pertukaran pemain. Toby Collyer yang memeterai kontrak baru bersama United diberi tanggungjawab mengetuai pasukan.
Rosenborg terus berusaha menembusi gawang United yang dikawal Vittek tetapi gagal. Penjaga gol berusia 20 tahun itu terus menghampakan tuan rumah menerusi siri persembahan cemerlang di hadapan gol.
Tatkala United berharap dapat menutup aksi persahabatan ini dengan rekod tanpa bolos, Noah Holm mempunyai idea sebaliknya. Holm meledakkan gol kemenangan buat tuan rumah pada minit akhir permainan.
Selepas ini, The Red Devils bakal meneruskan kempen pra-musim dengan menentang kelab gergasi Scotland, Glasgow Rangers di Murrayfield pada 20 Julai ini.