Akhbar United Kingdom (UK) mengesahkan bahawa pemain muda Manchester United, Ethan Wheatley memiliki salasilah Malaysia.
Pemain berusia 18 tahun ini ini sudah beberapa kali berada dalam skuad senior The Red Devils untuk membawa cabaran di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Beliau sebelum ini menjaringkan dua gol yang membantu pasukan merangkul Piala Liga Perdana Inggeris (EPL) Bawah 18 tahun menentang Manchester City.
Kurang 24 jam kemudian, Wheatley telah dimasukkan daripada bangku simpanan untuk penampilan sulung pasukannya pada masa kecederaan ketika menang 4-2 ke atas Sheffield United.
Pemain kelahiran Stockport, England menjadi graduan akademi ke-250 yang bermain untuk pasukan utama United.
Wheatley baru sahaja menandatangani kontrak profesional dengan United pada Januari namun sudah berlatih dengan pasukan utama selama beberapa bulan kebelakangan ini.
Selain rekodnya menentang City dan Liverpool, beliau juga menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Southampton Bawah 18 tahun awal musim ini.
Kemahiran yang dimiliki oleh penyerang tinggi lampai ini mengagumkan dengan memiliki kepantasan dan selesa dengan kedua-dua kaki selain terkenal dengan ketajamannya dalam kotak.
Menurut The Sun, Ethan memiliki salasilah Malaysia apabila sering memaparkan bendera Malaysia pada hantaran di laman Instagramnya.
“Dia telah pun mewakili England Bawah 17 dan memperoleh penampilan pertamanya menentang Poland beberapa tahun lalu.
“Akan tetapi, peminat Three Lions tidak boleh teruja terlalu awal kerana dia kerap memaparkan bendera Malaysia pada siaran media sosialnya,” jelas kenyataan tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa dirinya memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya yang merupakan warga Selangor.
“Benar, nenek saya dilahirkan dan datang dari Selangor. Akan tetapi, beliau berpindah ke UK ketika usia muda. Semasa saya kecil, keluarga kami sering bercuti di Kuala Lumpur,” ujarnya kepada laman Frfuturetalents.