Manchester United kini hanya memiliki tiga pemain tengah senior iaitu kapten, Bruno Fernandes, Mason Mount dan Manuel Ugarte.
Ini berdasarkan senarai pemain yang dikekalkan United yang disiarkan di semua platform rasmi pasukan itu baru-baru ini. Senarai tersebut menyaksikan enam pemain meninggalkan United pada akhir musim.
Mereka ialah Casemiro, Tyrell Malacia, Jadon Sancho, Sonny Aljofree, James Bailey dan Malachi Sharpe. Ketiadaan Casemiro sudah dijangka selepas The Red Devils memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak beliau.
Sepanjang empat musim bersama United, beliau merekodkan 160 penampilan dan 26 gol. Tempoh sama turut menyaksikan beliau meraih trofi Carabao Cup dan The Emirates FA Cup.
Nama Kobbie Mainoo tiada dalam senarai pemain tengah United kerana beliau berada dalam senarai pemain yang dibentuk di akademi. Ini bersesuaian dengan umurnya yang baru mencecah 21 tahun.
Meskipun hanya tiga pemain senior berada dalam senarai itu ketika ini, United tidak berdiam diri. Pasukan itu sudah mendapatkan pemain tengah Atalanta dari Brazil, Ederson.
Selain itu, United turut dikaitkan dengan beberapa pemain tengah lain seperti Mateus Fernandes, Carlos Baleba, Eliott Anderson dan Sandro Tonali.
Beberapa pemain akademi juga dijangka diberi peluang oleh pengurus United terutama untuk kempen pramusim. Antaranya Toby Collyer, Jack dan Tyler Fletcher, Dan Gore dan Sekou Kone.
Ini penting memandangkan United bakal mengharungi kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan selepas menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.