Advertisement
Manchester United & Newcastle Mahu Dapatkan Khidmat ‘Musuh’ Harimau Malaya Di Piala Asia
Transfer
MakanBola
Bernama

Dengan tamatnya kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, fokus semua pasukan ialah memperkuat pasukan masing-masing untuk musim 2023-2024. Dan difahamkan Manchester United dan Newcastle United mahu mendapatkan bek tengah Napoli, Kim Min-jae.

Berdasarkan ciapan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano di Twitter, nama bek tengah Korea Selatan itu kini dalam radar dua kelab EPL tersebut. Dan mereka mempunyai kelebihan disebabkan klausa yuran perpindahan €50 juta (RM246 juta) yang bakal berkuatkuasa untuk dua minggu pertama bulan Julai ini.

Menerusi klausa berkenaan, Napoli perlu menerima tawaran mana-mana kelab dengan yuran perpindahan yang dinyatakan dalam tempoh dua minggu berkenaan. Justeru, sebarang usaha memuktamadkan perpindahan perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut sebelum klausa tersebut luput.

Bagi United, kehadiran Min-jae bukan sekadar menambahbaik benteng pertahanan mereka. Malah, ia dapat menambah tarikan komersial Red Devils di Asia sekaligus mengundang nostalgia perpindahan legenda kelab dari Korea Selatan, Park Ji-sung.

Tetapi menurut laporan Fichajes, Magpies sedang mengetuai usaha mendapatkan Min-jae. Dengan Newcastle membuat penampilan pertama di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sejak musim 2002-2003, pengurus Eddie Howe pastinya menagih pengalaman beliau menerajui pertahanan Partenopei.

Min-jae masih lagi segar daripada kejayaan menjulang Serie A bersama Napoli musim ini. Tetapi dengan bosnya, Luciano Spalletti bakal meninggalkan Stadio Diego Armando Maradona, kedua-dua kelab berada pada kedudukan baik untuk mendapatkan khidmatnya.