Manchester United membentangkan perancangan untuk membina stadium terbesar di United Kingdom (UK).
Kelab itu merancang membina sebuah stadium dengan kapasiti 100,000 orang. Stadium baru ini bakal dibina berhampiran Old Trafford dan bakal mencecah £2 bilion (RM11.4 bilion).
Perancangan ini dikemukakan selepas The Red Devils telah meneliti semua pilihan termasuk pembangunan semula Old Trafford.
Sekiranya projek ini berjalan lancar, ia bakal dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun. Projek stadium baru ini dilihat sebahagian daripada program pembangunan semula kawasan sekitar Old Trafford.
The Red Devils percaya projek ini mampu menjana 92,000 pekerjaan baru, pembinaan 17,000 kediaman baru dan menarik 1.8 juta pelancong ke kawasan itu setiap tahun.
Ini bakal membawa kepada pendapatan tambahan sebanyak £7.3 bilion (RM41.8 bilion) kepada ekonomi UK.
Pemegang saham minoriti United, Sir Jim Ratcliffe melihat langkah ini perlu demi membawa kelab itu ke hadapan terutama dari segi fasiliti.
“Hari ini menandakan bermulanya satu perjalanan mengujakan untuk merealisasikan apa yang akan menjadi stadium terhebat di dunia,” katanya.
“Stadium kita sekarang sudah berbakti dengan cemerlang selama 115 tahun tetapi ia sudah ketinggalan di belakang stadium-stadium dalam sukan dunia.
“Saya fikir kita mungkin dapat menjadikannya sebagai stadium bola sepak paling ikonik di dunia.”
Sekiranya projek ini berjalan lancar, stadium baru United bakal menyertai beberapa stadium yang memiliki kapasiti sebanyak 100,000 tempat duduk atau lebih.
Antara stadium yang terkenal dengan kapasiti tersebut ialah Stadium Bryant-Denny, Stadium Michigan dan Stadium Narendra Modi.
United berpotensi disertai satu lagi kelab gergasi Eropah, Barcelona dalam senarai sama. Ketika ini, Barca sibuk membangunkan semula Nou Camp di mana ia bakal memiliki kapasiti 105,000 orang.