Manchester United Tampil Sempurna Musim Baru Kelak
MakanBola
Manchester United

Manchester United bakal memiliki kekuatan kewangan yang mantap untuk membentuk skuad terbaik musim hadapan.

Wartawan BBC Sport, Simon Stone melaporkan perkara ini berlaku selepas United melangsaikan hutang pinjaman mereka sebanyak £110 juta (RM587 juta).

Ini bermakna The Red Devils memiliki dana sebanyak £250 juta (RM1.3 bilion) yang boleh digunakan untuk aktiviti perpindahan musim 2026/27.

Selain itu, kelab juga telah menerima yuran perpindahan sebanyak £31.36 juta (RM167.3 juta) dipercayai untuk penyerang Denmark, Rasmus Hojlund.

Hojlund beraksi untuk kelab Serie A, Napoli secara pinjaman pada musim ini. Napoli membayar yuran berkenaan selepas mereka berjaya layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

United dijangka mendapat lebih banyak ruang untuk berbelanja terutama dari segi gaji apabila beberapa pemain meninggalkan kelab itu pada akhir musim. Antaranya Tyrell Malacia, Jadon Sancho dan Casemiro.

Meskipun Marcus Rashford bakal kembali ke Old Trafford selepas tamat pinjaman bersama Barcelona, masa depan penyerang England itu masih tidak menentu. Ini kerana Barcelona mahu meminjam Rashford buat kali kedua.

United pula berkira-kira menjual penyerang berusia 28 tahun itu jika mereka masih gagal mencapai persetujuan perpindahan dengan Barca. Ini ditambah dengan juara LaLiga itu sudah mendapatkan pemain sayap Newcastle United, Anthony Gordon.

United sudah memiliki beberapa sasaran perpindahan bagi memperkuatkan pasukan itu musim hadapan. Pemain tengah Atalanta, Ederson dijangka menjadi pembelian pertama kelab itu dengan yuran perpindahan £38 juta (RM163 juta).

Selain Ederson, Mateus Fernandes (West Ham), Sandro Tonali (Newcastle), Morgan Rogers (Aston Villa), Alex Scott (Bournemouth), Hayden Hackney (Middlesbrough) dan Shea Charles (Southampton) juga dilaporkan dalam radar United.