Manchester United menerima kelebihan awal menjelang kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2026/27. Ini selepas EPL mengumumkan senarai 380 perlawanan musim tersebut.
Kelab yang diberi jolokan The Red Devils itu mendapat siri perlawanan yang selesa untuk lapan aksi terawal liga. United akan membuka kempen dengan menentang pendatang baru liga, Hull City pada 22 Ogos.
Ini disusuli aksi menentang satu lagi pendatang baru liga, Ipswich Town pada 29 Ogos. Setelah itu, United akan menentang Everton, Manchester City, Fulham, Tottenham Hotspur, Leeds United dan Bournemouth.
Lapan aksi ini disifatkan selesa kerana beberapa lawan United mengalami perubahan untuk musim berkenaan termasuk pertukaran jurulatih. Misalnya, Ipswich, Fulham dan City kini mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Kieran McKenna, Marco Silva dan Pep Guardiola.
Juara bertahan, Arsenal pula akan membuka kempen liga dengan menentang juara Liga Kejohanan musim lalu, Coventry City. Aksi ini menarik kerana menemukan dua jeneral legenda EPL, Mikel Arteta dan Frank Lampard.
Ini disusuli perlawanan menentang juara Liga Europa, Aston Villa pada 29 Ogos dan Chelsea (5 September). Aksi menentang The Blues juga menarik kerana menemukan Arteta dengan legenda Liverpool dan rakan senegara, Xabi Alonso.
Alonso turut berdepan cabaran sukar selepas dilantik sebagai jurulatih baru Chelsea. Beliau akan membuka kempen EPL dengan menentang Fulham, Brighton dan Arsenal.
Sekiranya berjaya melepasi tiga aksi berkenaan dengan cemerlang, Chelsea dijangka mampu meraih mata bila menentang Hull City, Brentford, Bournemouth, Everton dan Spurs.
Selain United, Liverpool yang kini dibimbing Andoni Iraola juga mendapat siri perlawanan yang selesa. Selepas menentang Newcastle United, mereka akan menentang Nottingham Forest, Ipswich Town, Fulham dan Bournemouth.