Manchester United Umum Berita Tentang Safawi Rasid
MakanBola
KL City FC

Nama Safawi Rasid menjadi bualan peminat bola sepak negara apabila beritanya diumumkan oleh Manchester United baru-baru ini.

Hantaran video yang dimuat naik di platform Instagram rasmi The Red Devils itu dilihat menonjolkan pemain Harimau Malaya itu seperti pemain baharu pasukan itu.

Ini mendorong sesetengah peminat tempatan secara bergurau menyangka Safawi menjadi pemain baharu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Hakikatnya, video tersebut merupakan perkongsian Safawi sebagai peminat tegar United dan pengaruh kelab itu terhadap perkembangan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Salah satu daripadanya ialah bekas bintang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu menjadikan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo sebagai inspirasi.

Safawi melihat Ronaldo memberi impak besar kepada corak permainannya termasuk cara beliau menggelecek. Hal ini disedari Safawi dalam dua tahun pertama bekas bintang Real Madrid itu berada di Old Trafford.

Safawi kini kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tamat tempoh pinjaman bersama KL City FC. Beliau menjaringkan 14 gol dan mencipta lima bantuan gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Nama bekas bintang Terengganu FC itu kini dikaitkan dengan naib juara Liga Super musim lalu, Kuching City FC.