Ketua jurulatih Thailand, Mano Polking menganggap Stadium Nasional Bukit Jalil bakal beri kelebihan yang baik buat Harimau Malaya menjelang aksi separuh akhir pertama hari ini.
Pengendali Thailand berusia 46 tahun itu berpendapat bahawa pasukannya sudah bersedia dari segala aspek termasuk kemampuan fizikal dan juga mental.
Polking menganggap beraksi di pentas separuh akhir ini bukan perkara yang mudah kerana suasana dan auranya sama sekali berbeza .
“Saya percaya bila sampai di pentas separuh akhir atau final, rasanya berbeza. Kita perlu lakukan persiapan mental yang cukup. Di dalam padang nanti, para pemain harus sentiasa fokus dan jangan buat kesilapan.”
“Malaysia ada kelebihan bermain disini (Bukit Jalil) tapi saya juga gembira kerana kali ini Malaysia kekurangan 21 ribu penyokong kerana konsert Jay Chou.”
Mano Polking juga menjelaskan bahawa pasukannya akan bermain seperti biasa dan sama sekali tak akan bertahan. Thailand juga bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk meledak di Bukit Jalil malam ini.
“Kami tak datang sini untuk bertahan. Kami akan cuba kawal tekanan, kuasai permainan dan cari peluang untuk jaringkan gol. Benar, kami sudah bersedia,” ujar Polking dalam sesi sidang media sebelum perlawanan.
Malaysia bakal berdepan Thailand malam ini pada jam 8.30 malam. Aksi separuh akhir pertama ini akan menjadi medan pertempuran pertama buat Malaysia dan Thailand sebelum skuad Harimau Malaya bertandang ke Bangkok bagi mengharungi aksi separuh akhir kedua pada Selasa depan.