Jurulatih Central Coast Mariners (CCM), Mark Jackson tetap bangga dengan aksi pasukan itu dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
CCM berdepan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ketujuh Liga Timur ACLE.
Aksi tersebut berakhir dengan kemenangan 2-1 buat Harimau Selatan. Alvaro Gonzalez muncul wira dengan meledakkan dua gol buat pasukan selatan tanah air itu.
CCM juga dipaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dylan Peraic-Cullen diperintah keluar padang oleh pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin. Pasukan itu turut kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan.
Meskipun terpaksa berdepan kesukaran sepanjang perlawanan, Jackson tetap bangga dengan semangat melawan yang ditampilkan anak buahnya.
Ini kerana majoriti pemain yang diturunkan di Stadium Central Coast, Gosport ialah pemain-pemain muda.
“Jadi, bagi pemain kita yang berusia 16, 17, 18 dan 19 tahun dalam pasukan, memacu pasukan sepanjang kejohanan. Jadi, saya bangga dengan persembahan mereka,” katanya.
“Mereka akan ambil pengajaran, seperti mana aksi-aksi lain dalam kejohanan ini. Ada beberapa perlawanan yang kita tak berpeluang tetapi ada juga di mana kita ada peluang.
“Itu yang membantu mereka menjadi pemain yang lebih baik. Saya tahu ramai pemain merupakan pemain Australia jadi itu juga baik untuk (bola sepak) negara ini.”
CCM kini mengalihkan fokus untuk aksi terakhir Liga Timur ACLE menentang Kawasaki Frontale pada 18 Februari.
Aksi itu juga merupakan peluang terakhir buat juara Piala AFC 2023/24 itu meraih kemenangan sulung di pentas ACLE.