Advertisement
Marques Davinson Kini Penolong Jurulatih Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC terus menambah baik staf kejurulatihan mereka dengan membawa masuk Jun Marques Davinson sebagai penolong jurulatih.

Pelantikan penolong jurulatih berusia 41 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di laman sesawang rasmi pasukan itu. Sebelum itu, Davinson menggalas peranan pengarah pembangunan kelab China, Shaanxi Union.

“Marques Davinson secara rasmi dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Selangor FC untuk musim 2024/25. Selamat datang ke The Red Giants!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Davinson tiba dengan pengalaman luas bukan saja sebagai pemain tetapi juga sebagai jurulatih. Semasa bergiat aktif sebagai pemain profesional, beliau pernah beraksi untuk beberapa kelab Jepun dan Amerika Syarikat seperti Omiya Ardija, Albirex Niigata, Vissel Kobe dan Vancouver Whitecaps.

Selepas menggantung but pada tahun 2017, Davinson bergiat aktif dalam dunia kejurulatihan akar umbi. Beliau pernah melatih skuad muda Omiya Ardija, Guangzhou R&F dan Kogishima United.

Davinson bukan asing dengan jurulatih baharu Selangor, Katsuhito Kinoshi. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama semasa bersama Omiya Ardija.

Kinoshi melihat gabungan pengalaman, sikap dan pemahaman yang dibawa Davinson dilihat penting untuk merealisasikan falsafah bola sepak yang mahu diterapkan bersama Merah Kuning.

“Sebelum saya bersetuju untuk menyertai Selangor FC, saya telah menetapkan syarat untuk membawa seorang penolong jurulatih dari Jepun atau Eropah.

“Pihak pengurusan bersetuju dengan syarat ini, dan  saya memilih untuk membawa Marques Davinson ke dalam pasukan.

“Keperibadiannya serta pengalaman luas dalam kejurulatihan, bukan hanya di Jepun tetapi juga di China dan Amerika Syarikat, menjadikannya pilihan yang tepat untuk Gergasi Merah,” katanya.

Kehadiran Davinson bakal menyuntik semangat Selangor menjelang aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC.

Merah Kuning bakal berentap dengan Tok Gajah di Stadium MBPJ pada 1 Disember ini. Kedua-dua pasukan memburu tiket suku akhir selepas terikat 1-1 di Temerloh pada 23 November lalu.