Masa Depan Akhyar Rashid & Safawi Rasid Tidak Sehaluan
MakanBola
Terengganu FC

Masa depan pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid dijangka tidak sehaluan menjelang musim baharu.

Kedua-dua pemain ini dibawa daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan status pemain pinjaman dan membantu pasukan untuk menduduki tangga kelima Liga Super musim 2024/25.

Duo sensasi ini juga menjadi watak penting pasukan terutamanya dalam kancah ACC Shopee Cup 2024 namun terhenti pada peringkat kumpulan.

Terengganu mengambil langkah proaktif untuk mengikat segera khidmat Akhyar Rashid yang menjadi pemain tetap buat skuad Peteh.

“Akhyar Rashid secara rasminya telah menandatangani kontrak untuk bersama Terengganu FC yang akan mengekalkan pemain ini sehingga dua musim bersama kelab ini.

“Akhyar yang sebelum ini dipinjamkan dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2024/2025 telah memberikan impak yang cukup baik dalam meningkatkan kualiti pasukan ini dalam musim ini,” ujar kenyataan kelab.

Situasi berbeza buat Safawi Rasid di Terengganu apabila beliau tidak menandatangani kontrak aecara tetap untuk bersama negeri kelahirannya.

Berdasarkan kemas kini laman Transfermarkt, pemain berusia 28 tahun itu masih bergelar status pinjaman dan bakal pulang ke pangkuan JDT pada 30 Jun ini.

Safawi merekodkan 18 jaringan dan 4 bantuan jaringan sepanjang musim ini selain memakai lilitan kapten buat skuad Peteh.

Pasukan bimbingan Badrul Afzan kini dikaitkan dengan beberapa pemain serangan baharu seperti Haqimi Azim dan juga Luqman Hakim Shamsudin.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung mana-mana pemain baharu yang berada dalam rancangan kelab bagi musim baharu.