Advertisement
Masa Depan Kim Pan-gon Tidak Tergugat
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan kedudukan Kim Pan-gon sebagai pengendali Harimau Malaya langsung tidak tergugat sama sekali.

Sebelum ini, Pan-gon menyatakan hasrat untuk kekal mengemudi skuad senior Malaysia meskipun terlepas peluang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Ini kerana beliau percaya beliau masih boleh menyumbang untuk membawa pasukan itu lebih ke hadapan terutama menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Dan semalam, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan status Pan-gon sebagai jurulatih negara masih terjamin.

Ini kerana jurulatih Korea Selatan itu masih lagi memiliki baki kontrak setahun bersama skuad negara. Atas sebab itu, FAM mahu menghormati tempoh kontrak yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Setakat ini, kita tidak ada perbincangan-perbincangan lain bersama Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (FAM) atau dengan jurulatih (Kim Pan-gon) sendiri.

“Kita akan mengikut kontraknya yang ada. Maknanya kalau kontraknya sampai tahun depan, maka sampai tahun depan kita kekalkan kontrak dia terlebih dahulu.

“Jadi, apa-apa pertandingan yang berlaku sebelum tamat tempoh kontrak, itu di bawah Kim Pan-gon,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ke-11 Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi Penggal 2021-2025 semalam.

Mesyuarat jawatankuasa itu diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya dan dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Selepas tamat kempen kelayakan Piala Dunia 2026, Pan-gon dijangka fokus kepada tiga tugasan seterusnya iaitu ASEAN Championship 2024, Pestabola Merdeka 2024 dan kelayakan Piala Asia 2027.

Pestabola Merdeka 2024 bakal menjadi asas kepada dua cabaran seterusnya yang akan dihadapi Harimau Malaya. Ini kerana FAM dilaporkan bakal menjemput pasukan yang berada dalam Pot 1 dan Pot 2 kelayakan Piala Asia 2027.