Advertisements
Masalah Kecederaan Kembali Hantui Neymar
ACL
MakanBola
Al-Hilal FC

Bintang Al-Hilal, Neymar kembali dihantui isu kecederaan dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Sebelum ini, bekas bintang Barcelona itu terpaksa berehat selama 369 hari. Ini selepas Neymar mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dan meniskus pada bahagian lutut semasa aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Brazil dan Uruguay pada 2023.

Kecederaan serius itu memerlukan penyerang berusia 32 tahun itu perlu menjalani pembedahan bagi membantu proses pemulihannya.

Selepas berehat panjang, Neymar kembali membuat penampilan pertama untuk Al-Hilal untuk musim 2024/25. Beliau masuk menggantikan Salem Al-Dawsari untuk aksi ACLE menentang Al-Ain.

Pengendali Al-Hilal, Jorge Jesus kemudiannya memberi peluang kepada Neymar untuk beraksi lebih lama ketika menentang Esteghlal. Bekas penyerang PSG itu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-58.

Malangnya, Neymar hanya dapat bertahan selama 30 minit sebelum digantikan oleh Mohammed Al-Qahtani pada minit akhir perlawanan. Menerusi satu perkongsian di Instagram Story, bekas penyerang Barca itu berharap kecederaan hamstring yang dialaminya tidak terlalu serius.

“Harapnya ia tidak terlalu serius. Normal perkara ini berlaku selepas berehat selama setahun, para doktor sudah memberi amaran kepada saya, jadi saya kena lebih berhati-hati dan mendapatkan lebih banyak minit permainan,” katanya.

Sekiranya Neymar pulih, aksi beliau yang seterusnya ialah aksi ACLE antara Al-Hilal dengan Al-Sadd pada awal pagi 27 November. Ini disebabkan namanya tidak didaftarkan untuk aksi Saudi Pro League (SPL) musim 2024/25.