Isu teknikal membabitkan sistem bantuan video pengadil (VAR) kembali menjadi bualan peminat bola sepak negara sejak semalam.
Sebelum ini, sistem VAR tidak dapat digunakan akibat masalah teknikal untuk dua aksi pembukaan Liga Super pada minggu lepas.
Dua perlawanan yang terkesan ialah perlawanan Sri Pahang FC-Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Sabah FC-Penang FC. Disebabkan isu tersebut, sistem berkenaan tidak dapat digunakan untuk menyokong pengadil dalam kedua-dua perlawanan itu.
Kini, masalah teknikal VAR sekali lagi timbul membabitkan perlawanan Penang FC-Terengganu FC yang diadakan di Stadium Bandaraya.
Pelawat menyangka telah meraih gol pendahuluan menerusi bekas kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
Ini membuatkan ramai penyokong Peteh tertanya-tanya mengapa gol tersebut dibatalkan meskipun perlawanan itu dilengkapi dengan sistem VAR.
Pengarah Sukan Terengganu, Zul Fadli Rozi kemudiannya mendedahkan masalah teknikal VAR membabitkan garisan ofsaid menyebabkan gol Ott tidak dapat disemak.
“Ramai yang (hantar) teks tanya kenapa tak minta pengadil (S. Logeswaran) periksa VAR untuk gol Manny Ott itu.
“Sebenarnya, pada minit ke-20 (jika saya tak silap), kami diberitahu oleh pegawai perlawanan bahawa semakan VAR untuk ofsaid tak berfungsi untuk perlawanan malam ini disebabkan sedikit masalah teknikal membabitkan padang Stadium Bandaraya,” katanya di X.
Keputusan itu menyebabkan Penang dan Terengganu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan pada akhir perlawanan.
Selepas ini, Terengganu bakal mengharungi aksi derby Pantai Timur dengan Kelantan pada 24 Mei ini.