Juara Liga M3, Imigresen FC berdepan kemungkinan kehilangan khidmat jurulatih mereka, Mat Zan Mat Aris.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan bekas pengendali Terengganu FC itu belum memutuskan sama ada mahu kekal bersama The Mighty Tigers atau tidak.
Sebelum ini, Mat Zan pernah mendedahkan kemungkinan perlu meninggalkan Imigresen sekiranya pasukan itu beraksi dalam Liga Super musim depan.
Ini kerana beliau tidak memiliki Lesen Pro-A iaitu lesen kejurulatihan yang diperlukan bagi melatih pasukan di liga berkenaan.
Dengan Imigresen berkemungkinan akan terus beraksi dalam saingan Liga M3 seperti didedahkan CEO MFL, Stuart Ramalingam baru-baru ini, ini dilihat satu berita baik kepada Mat Zan.
Bagaimanapun, dengan gosip terbaru ini, The Mighty Tigers perlu bersedia membawa masuk pengganti sekiranya beliau benar-benar meninggalkan pasukan.
Imigresen muncul juara Liga M3 selepas mengatasi cabaran Melaka FC 1-0 dalam aksi terakhir liga beberapa minggu lepas.
Selain Mat Zan, Imigresen juga perlu bersedia dengan kemungkinan kehilangan khidmat pengarah teknikal mereka, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Ini kerana penyerang legenda Harimau Malaya itu dicanang sebagai pengganti K. Devan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran.
Zainal dikaitkan dengan kerusi panas itu sekiranya bekas jurulatih Selangor FC itu meninggalkan Negeri Sembilan FC.