Ramalan Nemanja Matic bahawa tindakan Manchester United menjual Scott McTominay ke Napoli merupakan satu kesilapan kini menjadi realiti.
Sebelum ini, pemain tengah Serbia itu merasa kecewa apabila kelab lamanya bertindak menjual graduan akademi mereka itu dalam tetingkap perpindahan musim panas 2024/25.
Matic percaya tindakan tersebut bukan saja bakal menyusahkan United di kemudian hari. Malah, beliau melihat McTominay akan menjadi aset buat kelab Itali itu.
“Pendapat saya ialah Man United membuat kesilapan dengan menjual Scott McTominay, hari ini sukar untuk menggantikan pemain seperti dia,” katanya pada Ogos 2024.
“Conte (pula) seorang yang bijak (kerana merekrut Scott McTominay).”
Ternyata apa yang diperkatakan Matic akhirnya menjadi kenyataan. McTominay membantu Napoli muncul juara Serie A musim 2024/25.
Sumbangan 12 gol dan enam bantuan gol beliau turut menjadikannya sebagai Pemain Terbaik Tahunan Serie A musim sama.
Ini sama sekali berbeza dengan United yang mengharungi musim 2024/25 yang suram. Musim itu menyaksikan The Red Devils gagal meraih sebarang trofi termasuk Liga Europa UEFA (UEL).
United turut menamatkan musim di tangga ke-15 dengan 42 mata. Ini dicapai dengan mengalahkan Aston Villa 2-0 dalam aksi terakhir liga.